skip to Main Content
NOTIS PENTING

Sejarah Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Sungai Rambai,Melaka

Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Sungai Rambai telah dibuka pada bulan Jun tahun 2005 dibawah pimpinan En. Abdul Wahab Bin Akelah selaku penyelaras. Pada peringkat awal, pihak sekolah telah menempatkan program ini di bilik Pengurusan Diri yang sebelum ini digunakan untuk mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan. Pengambilan empat orang murid daripada tingkatan peralihan yang mempunyai ciri-ciri murid bermasalah pembelajaran merupakan rintis program ini.

Dua bulan kemudian, program ini menerima peruntukan bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf kelas Pendidikan Khas. Bilik ini dilengkapi dua bilik darjah, satu dapur dan ruang makan, serta tandas dan bilik mandi. Keluasan bilik darjah turut bertambah dan dilengkapi pandawaian elektrik untuk lampu dan kipas yang lebih selesa dan selamat.

Pada tahun 2006, Program Pendidikan Khas SMKSR mempunyai 18 orang murid dan jumlah ini kekal pada tahun 2007. Pada penghujung tahun 2007 melalui peruntukan Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) program ini telah mendapat bangunan dua unit kuarters guru yang diubahsuai menjadi bangunan PPKI dan telah memberi lebih keselesaan bagi menampung pertambahan bilangan murid.

Pada awal tahun 2010, bilangan murid bertambah kepada 30 orang dengan 5 orang guru dan 2 orang pembantu pengurusan murid. Bilangan guru turut bertambah pada penghujung tahun dengan kemasukan GPK Pendidikan Khas dan seorang guru tetap. Jumlah murid yang agak besar telah menyebabkan kelas yang sedia ada agak padat dengan ketiadaan bilik-bilik khas seperti tempat penyimpanan alatan, bilik aktiviti, stor, dan sebagainya.

Pada tahun 2011, jumlah guru kekal dengan 6 orang dan seorang GPK Pendidikan Khas. Begitu juga dengan bilangan murid kekal sebanyak 30 orang pada awal tahun dengan kemasukan murid baru serta murid yang telah menamatkan persekolahan. Bagaimanapun, bilangan ini semakin berkurangan pada penghujung tahun, bilangan ini menjadi 27 orang murid atas sebab perpindahan dan pertukaran sekolah. Bilangan PPM pula bertambah menjadi 3 orang apabila program ini menerima kemasukan PPM pada bulan Ogos.

Pada tahun 2012, program ini menerima kemasukan murid seramai 10 orang menjadikan bilangannya berjumlah 37 orang pada awal tahun. Seorang guru baru juga ditempatkan di sini menjadikan jumlah guru seramai 7 orang. Sebanyak 5 kelas dibuka dengan jumlah murid dan guru yang ada iaitu kelas Alamanda, Cyberjaya, Seri Negeri, Seri Perdana, Putrajaya. Pertambahan murid dan guru menjadikan kelas Pendidikan Khas menjadi semakin sempit dan agak kurang selesa.

Tahun 2013, bilangan murid pada awal tahun seramai 40 orang dan telah berkurang menjadi 38 orang setelah 2 orang murid berpindah. Bilangan guru masih sama iaitu 7 orang guru, seorang GPK serta dibantu oleh 3 orang Pembantu Pengurusan Murid.

Pada Mei 2013, program ini mendapat kelulusan menggunakan bangunan kuarters guru dua pintu yang tidak dihuni sebagai kelas. Bangunan yang baru ini digunakan sebagai Studio Seni untuk kelas Seri Negeri dan Studio Muzik. Dua buah bilik dalam Studio Muzik dijadikan Bilik Fail dan Bilik Jahitan. Pada bulan September barulah kemudahan elektrik dibaiki setelah permohonan dibuat kepada Jabatan Kerja Raya diikuti dengan pemasangan paip air dan proses pengecatan semula daripada peruntukan PPD Jasin.

Bilangan murid pada awal tahun 2014 ialah 40 orang dengan bilangan guru dan PPM yang sama seperti tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun pada penghujung tahun 2014, bilangan murid semakin berkurangan kerana 5 orang murid telah berjaya melanjutkan pelajaran menerusi program ‘buying seat’ dan 3 orang murid lagi telah berpindah ke sekolah lain.

Pada tahun 2015, seramai 12 orang murid baru telah mendaftar masuk dalam program pendidikan di sekolah ini. Seramai 40 orang murid telah memulakan persekolahan pada awal persekolahan tahun 2015. Seramai 10 orang murid telah berjaya melanjutkan pelajaran melalui program ‘buying seat’. 2 orang murid telah berpindah ke Sekolah Vokasional Inderapura, manakala 2 orang lagi telah berpindah mengikut keluarga ke Batu Pahat.

Pada tahun 2016, Program Pendidikan Khas SMK Sungai Rambai telah menerima kemasukan pelajar baru menjadikan jumlah murid seramai 34 orang. Bilangan guru pula seramai 7 orang, manakala bilangan PPM telah bertambah kepada 4 orang.

Tahun 2017, PPKI SMK Sungai Rambai telah menerima masuk seorong Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas yang baru, iaitu Pn. Hjh. Halizah binti Abdullah berikutan Pn. Norlela binti Munib telah berpindah ke SMK Dang Anum. Bilangan guru juga bertambah dengan kemasukan tenaga pengajar yang baru iaitu Cik Rafidah binti Othman yang berpindah dari SMK Air Molek, Melaka, manakala PPM pula seramai 3 orang berikutan Pn. Hamidah binti Othman telah berpindah ke Pahang. PPKI SMK Sungai Rambai juga menerima kemasukan 10 orang murid baru yang didaftarkan ke PPKI SMKSR pada tahun ini.

Kini pada tahun 2018, PPKI SMK Sungai Rambai telah mencapai seramai 40 orang pelajar, 8 orang guru termasuk guru penolong kanan pendidikan khas, Pn. Hjh. Halizah Binti Abdullah, serta 3 orang pembantu pengurusan murid. Tahun 2018 juga menjadi titik sejarah apabila PPKI SMK Sungai Rambai berjaya membangunkan projek Arena Prima, iaitu gelanggang petanque 6 gelanggang untuk kemudahan semua warga di SMK Sungai Rambai.

Pelbagai program dirancang selaras dengan keperluan dan kemampuan murid-murid pendidikan khas di sekolah ini dalam memberi pendedahan dan pengalaman baru. Semoga program yang dirancang ini dapat direalisasikan dengan sokongan Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin serta kerjasama daripada pihak pentadbir sekolah dan semua warga PPKI khasnya. Mudah-mudahan PPKI di sekolah ini akan bergerak lebih aktif dan berkembang dalam meneruskan kecemerlangan dan kebolehan dalam pelbagai dan aktiviti menerusi program PPKI yang dirancang.

Back To Top